Bab 3 Kesan-kesan Pemanasan Global
3.1 Kesan
Seperti yang kita sedia maklum, pemanasan global akan memberi kesan buruk kepada bumi terutamanya terhadap benda hidup terutamnya manusia. Namun begitu, mengikut kajian yang telah dibuat, pemanasan global turut memberi kesan positif tetapi kesan negatifnya adalah lebih signifikan berbanding kesan positif dan di sini, hanya kesan negatifnya sahaja yang akan dihuraikan.
3.1.1 Ancaman terhadap tapak warisan dan sejarah
Salah satu kesan negatif pemanasan global ialah mengancam tapak warisan dan sejarah yang ada di muka bumi ini. Organisasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) telah menyenaraikan sebanyak 857 tapak sebagai tapak warisan dunia termasuk Taman Kinabalu di Sabah dan Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak, Malaysia. Apabila pemanasan global berlaku, ini akan menyebabkan berlakunya pencairan ais di kutub seterusnya akan meningkatkan paras air laut dunia. Apabila paras air laut meningkat, tapak warisan terutamanya yang terletak berhampiran pantai akan mengalami risiko tinggi untuk ditenggelami air terutamanya apabila air pasang. Sebagai contoh, Kota Venice yang terletak di pesisiran Laut Adriatik, terkenal dengan struktur-struktur bangunan yang dibina di atas kelong-kelong oleh arkitek-arkitek yang mashyur pada kurun ke-5.[1] Kenaikan aras air Laut Adriatik ini seringkali menyebabkan kejadian banjir berlaku akibat daripada kemasukan air laut ke dalam kelong-kelong ini.[2] Kajian menyatakan sekiranya fenomena ini terus berlaku, Venice akan mengalami banjir pada setiap hari.
3.1.2 Perubahan iklim dan cuaca
Selain itu, peningkatan suhu dan kepekatan gas karbon dioksida di atmosfera akan mengubah iklim dan persekitaran. Hal ini demikian kerana gas yang terkandung di atmosfera tidak akan menjadi stabil seperti beribu-ribu tahun dahulu. Akibatnya, biodiversiti hidupan di muka bumi ini akan terjejas. Taman Negara Mulu dan Taman Kinabalu, yang kaya dengan spesies tumbuhan dan haiwan pastinya akan berhadapan dengan perubahan iklim kesan daripada pemanasan global.
3.1.3 Pengasidan air laut
Seterusnya, seperti yang kita ketahui, punca utama pemanasan global adalah disebabkan oleh kandungan gas karbon dioksida yang terlalu banyak hingga boleh memerangkap haba. Gas karbon dioksida ini turut mengancan hidupan marin apabila gas karbon dioksida yang berlebihan ini terlarut di dalam air laut. Gas karbon dioksida pada dasarnya bertindak mengawal kandungan asid didalam laut pada keadaan yang normal namun, apabila kandungan gas ini meningkat, proses asidifikasi air laut turut akan meningkat dan pada satu tahap akan menyebabkan air laut menjadi terlalu berasid. Kandungan asid yang terlalu tinggi dalam lautan akan membahayakan organisma yang berlindung di dalam cengkerang kalsium karbonat seperti terumbu karang, pelbagai jenis siput dan kerang serta beberapa spesies plankton.[3] Menurut seorang saintis dari Universiti Miami, Christoper Langdon, pH purata lautan sudahpun mengalami penurunan sebanyak 0.1 unit pH sejak bermulanya Revolusi Industri.[4] Para saintis berpendapat bahawa jika tiada tindakan yang diambil, pH air laut akan mengalami penurunan secara purata sebanyak 0.3 pada tahun 2100. Keadaan ini akan menyebabkan kerosakan yang teruk ke atas hidupan yang memerlukan kalsium karbonat sebagai cengkerangnya. Molekul karbon dioksida yang terlarut akan bertindak balas dengan kalsium karbonat yang terdapat pada cengkerang hidupan marin. Tindak balas ini akan menghasilkan asid karbonik yang menjadi punca utama kepada penurunan pH air laut.
3.1.4 Penyakit
Selain itu, terdapat juga beberapa kesan negatif lain akibat pemanasan global. Contohnya, peningkatan suhu dunia yang semakin bertambah akan mengundang kepada peningkatan risiko penyakit berjangkit terutamanya di kawasan Afrika.[5] Hal ini disebabkan oleh pemanasan global yang menyebabkan kemarau sering berlaku dan akan memudahkan penyakit merebak. Selain itu, ketiadaan air yang cukup akan menyebabkan tanaman tidak subur dan akibatnya mereka akan tiada sumber makanan untuk dimakan sekali gus menyebabkan kebuluran berlaku.
3.2 Kesimpulan
Natijahnya, seluruh lapisan masyarakat harus sedar akan bahayanya atau kesan buruk yang akan menimpa sekiranya isu pamanasan global masih terus dipandang ringan sahaja. Hal ini demikian kerana tidak seorang pun di dunia ini yang tahu dan dapat meramal dengan tepat apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Sekiranya isu ini terus dipandang ringan, kesan buruk yang lebih serius daripada apa yang telah sedia terjadi pada hari ini berkemungkinan besar akan menjadi bertambah parah lagi.
[1] www.flickr.com
[2] Era Hijau, keluaran no.2, 2007. hlm 13
[3] http://www.reeffutures.org/topics/bleach.cfm
[4] http://www.reeffutures.org/topics/bleach.cfm
[5] http://en.wikipedia.org/wiki/Effects_of_global_warming.html
5 comments:
power2.
Baik bro
really helpful!! pls read my blog
sangat membantu saya.. masehh yee..
very nice
Post a Comment