Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Blogger Template From:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, May 19, 2011

Langkah-langkah Mengatasi Pemanasan Global

Bab 4 Langkah-langkah Mengatasi Pemanasan Global

4.1 Negara

            Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil bagi meminimumkan kesan negatif pemanasan global terhadap hidupan di muka bumi ini. Antaranya adalah:

            4.1.1 Teknologi hijau

                        Teknologi hijau boleh didefinisikan dengan merujuk pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alm sekitar dan alam semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif kepada manusia.[1] Contohnya, menstrukturkan semula dan menambah fungsi beberapa kementerian dan mewujudkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia.[2] Melalui pendekatan sebegini, impak negatif aktiviti manusia terhadap alam sekitar sudah tentu dapat diminimumkan. Hal ini dimikian kerana lebih banyak kementerian baru yang lebih proaktif telah ditubuhkan bagi mengawal serta memantau keadaan semasa atau kualiti alam sekitar di seluruh negara.

            4.1.2 Penguatkuasaan undang-undang

                        Selain itu, penguatkuasaan undang-undang yang lebih proaktif dan efektif  oleh kerajaan perlulah dilaksanakan. Sebagai contoh, mewajibkan penggunaan kenderaan bermotor yang mempunyai penapis gas pada ekzos kenderaan masing-masing. Hal ini sudah tentu akan menjamin kebersihan gas yang   dilepaskan daripada ekzos-ekzos kenderaan terutamanya di kawasan bandar adalah selamat dan mesra alam.

                      Pengeluaran atau pelulusan lesen bagi tujuan pembalakan turut perlu diminimumkan. Hal ini adalah bagi memastikan para pembalak agar tidak menyalahgunakan permit yang mereka peroleh untuk kepentingan sendiri.  Penetapan had kuantiti kayu balak yang boleh ditebang dalam satu tahun akan  dapat meminimumkan penebangan kayu balak yang terdapat di negara ini.

4.2 Masyarakat

            4.2.1 Saling memberi maklumat

                        Bagi mengurangkan kesan negatif pemanasan global, peranan masyarakat dalam sesebuah negara juga penting. Masyarakat haruslah saling memperingati dan memberi maklumat tentang keseriusan isu pemanasan global  kepada orang lain. Masyarakat turut perlu memberi respon yang positif terhadap seruan kerajaan bagi sama-sama menggembleng tenaga bagi menangani             masalah ini. Ajakan untuk sama-sama memberi komitmen terhadap alam sekitar oleh masyarakat setempat adalah amat penting supaya semua lapisan masyarakat akan sedar dan tahu akan tanggungjawab masing-masing dalam memelihara alam sekitar.


4.3 Sekolah

            4.3.1 Memberi pendidikan tentang alam sekitar

                        Pendidikan mengenai penjagaan alam sekitar turut perlu diberi dan didedahkan sejak di bangku sekolah lagi. Hal ini demikian kerana generasi muda harus tahu akan kepentingan menjaga alam sekiatar dan melalui pendedahan  mengenai isu pemanasan global sejak mereka bersekolah lagi sekurang- kurangnya dapat memberi mereka idea tentang apa yang perlu mereka lakukan   sebagai tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar.

           

            4.3.2 Mewujudkan kelab pencinta alam sekitar

                        Dengan mewujudkan kelab pencinta alam sekitar sebagai salah satu kelab dalam aktiviti kokurikulum di sekolah, para pelajar akan berpeluang untuk mengaplikasikan ilmu tentang penjagaan alam sekitar di sekolah. Mereka tidak hanya duduk dan mendengar tentang tanggungjawab ini dari mulut guru mereka sewaktu kelas pada waktu pagi sebaliknya mengaplikasikan apa yang telah          dipelajari pada waktu petang, iaitu semasa aktiviti kokurikulum dijalankan. Penubuhan kelab ini turut akan dapat menanam sedikit-sebanyak perasaan cinta para pelajar terhadap alam sekitar pada usia muda lagi.

            4.3.3 Peranan guru kaunseling

                        Guru kaunseling di sekolah saharusnya tidak hanya memandang berat pada masalah-masalah disiplin pelajar di sekolah sahaja. Pendedahan tentang isu-isu semasa kepada para pelajar turut perlu dipandang serius. Contohnya, isu pemanasan global yang semakin serius pada masa kini. Pendedahan tentang cara-cara yang bolaeh dijadikan sebagai sumbangan bagi meminimumkan impak pemanasan global adalah penting dan perlu diketahui oleh semua warga sekolah. Hal ini boleh dilakukan dengan menampal poster umpamanya, mengadakan ceramah dan menganjurkan pertandingan-pertandingan yang berkaitan dengan penjagaan alam sekitar sehingga ke peringkat antarabangsa. Hal ini akan memberi kesedaran kepada  orang ramai tentang peri pentingnya              menjaga alam semulajadi di sekeliling kita.


 4.4 Diri sendiri
           
            Kesedaran di dalam diri tentang isu ini adalah asas kepada usaha yang akan dilakukan oleh samada pihak sekolah, masyarakat mahupun negara. Sumbangan diri sendiri terhadap penjagaan alam sekitar adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan usaha-usaha pihak sekolah, masyarakat dan negara. Antara langkah atau tips yang boleh diambil termasuklah:[3]

            4.4.1 Memastikan tayar kenderaan telah dipam secukupnya kerana tayar yang tidak dipam secukupnya akan melepaskan gas karbon dioksida yang banyak ke atmosfera.

            4.4.2 Elak menggunakan air panas bagi mencuci pakaian sebaliknya menggunakan alat pencuci yang sesuai yang boleh digunakan walau dalam air sejuk atau suam.

            4.4.3 Tanggalkan plak wayar elektrik pada soketnya apabila tidak digunakan. Hal ini demikian kerana plak wayar elektrik yang masih bersambung pada soket akan menyebabkan arus elektrik masih mengalir walaupaun suis telahpun dimatikan.

            4.4.4 Penggunaan lampu pendaflour juga lebih menjimatkan tenaga berbanding lampu bilik atau lampu mentol.

            4.4.5 Beli barangan yang boleh dikitar semula. Selain dapat meminimumkan penggunaan bahan mentah untuk penghasilan barangan baru, barangan yang boleh dikitar semula akan memberi keuntungan apabila barangan tersebut dijual  untuk dikitar semula.

            4.4.6 Menanam pokok di kawasan atau sekitar rumah turut dapat mengatasi  masalah ini. Selain mewujudkan suasana yang nyaman dan sejuk, penanman pokok turut akan mengurangkan ketumpatan gas karbon dioksida yang terkumpul di sekeliling rumah.



[1] Dewan Siswa, Februari, 2010, hlm 06
[2] Dewan Siswa, Februari, 2010, hlm 07
[3] http://www.squidoo.com/globalwarmingprevent





Kesimpulan

            Daripada  hasil kajian, dapatlah disimpulkan bahawa pemanasan global bukan lagi merupakan satu isu yang ringan kerana isu ini banyak mendatangkan mudarat kepada semua hidupan di muka bumi ini dan manusia adalah tidak terkecuali. Kita perlu sedar bahawa pemanasan global bukan berlaku secara semulajadi. Sebaliknya, kita perlu ingat bahawa isu ini semuanya berpunca daripada perbuatan kita sendiri yang lebih mementingkan keuntungan, keseronokan dan keselesaan duniawi yang berlebihan dan sebagainya. Betul, kita tidak mampu menghalang pemanasan global daripada terus berlaku tetapi, kita masih punya kebijaksanaan bagi mengawal isu ini daripada menjadi semakin parah dalam jangka masa yang singkat sahaja. Oleh yang demikian, langkah yang proaktif serta wajar perlu kita ikuti dan semua pihak harus bekerjasama serta sama-sama berganding bahu dalam mengatasi masalah ini.

             Walaupun semua langkah tersebut tampak remeh, namun seandainya semau individu di dunia ini melakukan hal yang sedemikian, tidak mustahil pemanasan global tidak akan memberi impak yang lebih teruk pada masa hadapan. Kita tidak seharusnya membiarkan diri kita terus dibuai mimpi oleh keseronokan dan keselesaan hidup di dunia ini sedangkan kita tidak mengetahui akan realitinya impak pemanasan global terhadap masa depan generasi akan datang atau anak-anak kita. Natijahnya, masa depan anak-anak kita akan datang terletak pada usaha dan apa yang kita lakukan pada masa sekarang. Janganlah kita sanggup membiarkan generasi akan datang menderita dan hidup dalam katakutan disebabkan oleh kelalaian dan sikap endah tak endah kita pada masa kini.

Note: Semua artikel mengenai pemanasan global ini adalah hasil kajian yang telah saya lakukan di sekolah. Semua fakta adalah sahih dan telah dirujuk dari pelbagai sumber. Dimuat naik bertujuan untuk perkongsian maklumat kepada sesiapa sahaja yang memerlukan maklumat tersebut dan juga kepada pengunjung blog...terima kasih! ^^

Wednesday, May 18, 2011

Kesan-kesan Pemanasan Global

 Bab 3 Kesan-kesan Pemanasan Global

3.1 Kesan

            Seperti yang kita sedia maklum, pemanasan global akan memberi kesan buruk kepada bumi terutamanya terhadap benda hidup terutamnya manusia. Namun begitu, mengikut kajian yang telah dibuat, pemanasan global turut memberi kesan positif tetapi kesan negatifnya adalah lebih signifikan berbanding kesan positif dan di sini, hanya kesan negatifnya sahaja yang akan dihuraikan.

            3.1.1 Ancaman terhadap tapak warisan dan sejarah

                        Salah satu kesan negatif pemanasan global ialah mengancam tapak warisan dan sejarah yang ada di muka bumi ini. Organisasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) telah menyenaraikan sebanyak 857 tapak sebagai tapak warisan dunia termasuk Taman Kinabalu di Sabah dan Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak,   Malaysia. Apabila pemanasan global berlaku, ini akan menyebabkan berlakunya pencairan ais di kutub seterusnya akan meningkatkan paras air laut dunia. Apabila paras air laut meningkat, tapak warisan terutamanya yang terletak berhampiran pantai akan mengalami risiko tinggi untuk ditenggelami air   terutamanya apabila air pasang. Sebagai contoh, Kota Venice yang terletak di  pesisiran Laut Adriatik, terkenal dengan struktur-struktur bangunan yang dibina di atas kelong-kelong oleh arkitek-arkitek yang mashyur pada kurun ke-5.[1]  Kenaikan aras air Laut Adriatik ini seringkali menyebabkan kejadian banjir berlaku akibat daripada kemasukan air laut ke dalam kelong-kelong ini.[2] Kajian menyatakan sekiranya fenomena ini terus berlaku, Venice akan mengalami  banjir pada setiap hari.

            3.1.2 Perubahan iklim dan cuaca

                        Selain itu, peningkatan suhu dan kepekatan gas karbon dioksida di atmosfera akan mengubah iklim dan persekitaran. Hal ini demikian kerana gas yang terkandung di atmosfera tidak akan menjadi stabil seperti beribu-ribu tahun dahulu. Akibatnya, biodiversiti hidupan di muka bumi ini akan terjejas. Taman Negara Mulu dan Taman Kinabalu, yang kaya dengan spesies tumbuhan dan       haiwan pastinya akan berhadapan dengan perubahan iklim kesan daripada pemanasan global.

            3.1.3 Pengasidan air laut

                        Seterusnya, seperti yang kita ketahui, punca utama pemanasan global adalah disebabkan oleh kandungan gas karbon dioksida yang terlalu banyak hingga boleh memerangkap haba. Gas karbon dioksida ini turut mengancan hidupan marin apabila gas karbon dioksida  yang berlebihan ini terlarut di dalam air laut. Gas karbon dioksida pada dasarnya bertindak mengawal kandungan asid didalam laut pada keadaan yang normal namun, apabila kandungan gas ini     meningkat, proses asidifikasi air laut turut akan meningkat dan pada satu tahap akan menyebabkan air laut menjadi terlalu berasid. Kandungan asid yang terlalu tinggi dalam lautan akan membahayakan organisma yang berlindung di dalam  cengkerang kalsium karbonat seperti terumbu karang, pelbagai jenis siput dan kerang serta beberapa spesies plankton.[3] Menurut seorang saintis dari             Universiti Miami, Christoper Langdon, pH purata lautan sudahpun mengalami penurunan sebanyak 0.1 unit pH sejak bermulanya Revolusi Industri.[4] Para saintis berpendapat bahawa jika tiada tindakan yang diambil, pH air laut akan mengalami penurunan secara purata sebanyak 0.3 pada tahun 2100. Keadaan     ini akan menyebabkan kerosakan yang teruk ke atas hidupan yang memerlukan    kalsium karbonat sebagai cengkerangnya. Molekul karbon dioksida yang terlarut  akan bertindak balas dengan kalsium karbonat yang terdapat pada cengkerang hidupan marin. Tindak balas ini akan menghasilkan asid karbonik yang menjadi punca utama kepada penurunan pH air laut.

             3.1.4 Penyakit

                        Selain itu, terdapat juga beberapa kesan negatif lain akibat pemanasan global. Contohnya, peningkatan suhu dunia yang semakin bertambah akan mengundang kepada peningkatan risiko penyakit berjangkit terutamanya di kawasan Afrika.[5] Hal ini disebabkan oleh pemanasan global yang menyebabkan kemarau sering berlaku dan akan memudahkan penyakit merebak. Selain itu,      ketiadaan air yang cukup akan menyebabkan tanaman tidak subur dan akibatnya mereka akan tiada sumber makanan untuk dimakan sekali gus menyebabkan kebuluran berlaku.
           
           
3.2 Kesimpulan

            Natijahnya, seluruh lapisan masyarakat harus sedar akan bahayanya atau kesan buruk yang akan menimpa sekiranya isu pamanasan global masih terus dipandang ringan sahaja. Hal ini demikian kerana tidak seorang pun di dunia ini yang tahu dan dapat meramal dengan tepat apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Sekiranya isu ini terus dipandang ringan, kesan buruk yang lebih serius daripada apa yang telah sedia terjadi pada hari ini berkemungkinan besar akan menjadi bertambah parah lagi.



[1] www.flickr.com
[2] Era Hijau, keluaran no.2, 2007. hlm 13
[3] http://www.reeffutures.org/topics/bleach.cfm
[4] http://www.reeffutures.org/topics/bleach.cfm
[5] http://en.wikipedia.org/wiki/Effects_of_global_warming.html



Punca-punca Pemanasan Global

Bab 2 Punca-punca Pemanasan Global

2.1 Punca-punca pemanasan global

            2.1.1 Gas Karbon Doksida

                        Terdapat pelbagai punca berlakunya peningkatan suhu bumi. Secara saintifiknya, kandungan gas karbon dioksida yang terlalu banyak di atmosfera akan memberi kesan kepada suhu bumi kepada tahap yang tidak stabil atau panas. Hal ini demikian kerana gas karbon dioksida akan memerangkap sinaran   Iframerah (IR) pada jarak gelombang sebanyak ~4200 micrometer dan ini akan menyebabkan berlakunya regangan pada ikatan C=O.[1] Regangan tersebut akan berlaku pada jangka masa yang singkat sahaja. Molekul gas karbon  dioksida kemudian melepaskan semula tenaga yang diserap pada awalnya untuk berada dalam keadaan tidak stabil.


            Proses ini akan menyebabkan molekul gas karbon dioksida untuk memerangkap dan melepaskan sinaran IR yang terpantul dari permukaan bumi berulang kali. Hal ini akan melambatkan proses pelepasan tenaga haba ke luar angkasa dan akhirnya memerangkap haba tersebut di ruangan atmosfera bumi dan dikenali sebagai kesan rumah hijau. Kesan rumah hijau akhirnya menjadi punca kepada  fenomena pemanasan secara global.

            2.1.2 Kesan Rumah Hijau

                        Salah satu punca utama kepada fenomena pemanasan global adalah kesan rumah hijau. Aktiviti pertanian yang dijalankan oleh manusia telah mewujudkan kesan rumah hijau. Rumah hijau merupakan sebuah tempat yang dibina oleh manusia dengan menggunakan kaca lutsinar bagi memudahkan cahaya matahari menembusi dan dibekal pada tanaman di dalamnya. Anak-anak             pokok akan ditanam di dalam rumah kaca tersebut kerana kepekatan gas karbon dioksida yang terdapat di udaranya adalah sangat tinggi dan hal ini akan mempercepatkan proses tumbesaran pokok atau bunga yang ditanam di dalamnya. Walaupun penanaman secara kaedah ini menguntungkan para petani dan pengusaha tanaman, namun aktiviti atau kaedah ini akan turut memberi kesan kepada alam sekitar apabila terlalu banyak gas karbon dioksida dilepaskan ke atmosfera bumi dan akhirnya memerangkap tenaga haba yang sepatutnya dilepas ke ruang angkasa kita.

            2.1.3 Pembakaran Terbuka

                        Selain itu, pembakaran terbuka secara besar-besaran atau   pembakaran umpamanya, akan turut menyumbang kepada berlakunya pemanasan global. Pembakaran hutan bagi tujuan pertanian, petempatan, pembalakan, perindustrian dan sebagainya akan meningkatkan kadar kepekatan kandungan gas karbon dioksida di ruang udara. Hal ini demikian kerana gas karbon dioksida sepatutnya digunakan oleh pokok-pokok untuk menjalani proses respirasi dan fotosintesis. Apabila semua pokok telah ditebang dan dihapuskan, maka gas karbon dioksida pun berkumpul dan memerangkap tenaga haba. Pembakaran secara terbuka misalnya pernah berlaku dengan teruk sehingga menyebabkan jerebu yang teruk di Malaysia pada tahun 1997. Kejadian ini bukan sahaja menyebabkan penduduk mendapat penyakit seperti asma, radang paru-paru, kesukaran bernafas dan   sebagainya, malah sedikit sebanyak turut  menyumbang kepada kenaikan suhu di sekeliling.

            2.1.4 Aktiviti manusia

                        Seterusnya, penggunaan bahan-bahan yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar oleh manusia turut menjadi punca kepada masalah ini. Penggunaan bahan-bahan fosil atau biomas bagi mendapatkan sumber tenaga  turut memberi  kesan negatif terhadap alam sekitar. Hal ini demikian kerana api fosil yang dibakar untuk penghasilan tenaga akan membebaskan gas karbon    dioksida, nitrogen dioksida, metana, CFC dan pelbagai jenis gas berbahaya yang lain. Penggunaan kenderaan bermotor untuk tujuan pengangkutan turut  membebaskan gas yang berbahaya ke ruang udara termasuklah gas-gas hidrokarbon dan sebagainya. Apabila semua gas tersebut dibebaskan dan             terkumpul di udara, gas-gas ini akan bergabung dan akan membentuk satu lapisan tambahan di atmosfera.[2] Lapisan tambahan ini akan menghalang   proses pembalikan sinaran yang berlaku secara semulajadi di atmosfera. Hal ini   dapat   dibuktikan dengan fakta umumnya, bumi berupaya untuk memantulkan kembali 30% daripada sinaran cahaya matahari. Selebihnya sebanyak 30%            diserap untuk memanaskan bumi, atmosfera dan lautan.[3] Pembentukan satu lapisan gas pencemar tadi akan secara tidak langsung bertindak sebagai lapisan gas rumah hijau.










[1] Organic Chemistry, STPM, Longman, Chap2, hlm 32, Ho Hoon Yoon
[2] Era Hijau, keluaran no.2, 2007, hlm 11
[3] Era Hijau, keluaran no.2, 2007, hlm 11
 

Text