Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Blogger Template From:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, May 18, 2011

Kesan-kesan Pemanasan Global

 Bab 3 Kesan-kesan Pemanasan Global

3.1 Kesan

            Seperti yang kita sedia maklum, pemanasan global akan memberi kesan buruk kepada bumi terutamanya terhadap benda hidup terutamnya manusia. Namun begitu, mengikut kajian yang telah dibuat, pemanasan global turut memberi kesan positif tetapi kesan negatifnya adalah lebih signifikan berbanding kesan positif dan di sini, hanya kesan negatifnya sahaja yang akan dihuraikan.

            3.1.1 Ancaman terhadap tapak warisan dan sejarah

                        Salah satu kesan negatif pemanasan global ialah mengancam tapak warisan dan sejarah yang ada di muka bumi ini. Organisasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) telah menyenaraikan sebanyak 857 tapak sebagai tapak warisan dunia termasuk Taman Kinabalu di Sabah dan Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak,   Malaysia. Apabila pemanasan global berlaku, ini akan menyebabkan berlakunya pencairan ais di kutub seterusnya akan meningkatkan paras air laut dunia. Apabila paras air laut meningkat, tapak warisan terutamanya yang terletak berhampiran pantai akan mengalami risiko tinggi untuk ditenggelami air   terutamanya apabila air pasang. Sebagai contoh, Kota Venice yang terletak di  pesisiran Laut Adriatik, terkenal dengan struktur-struktur bangunan yang dibina di atas kelong-kelong oleh arkitek-arkitek yang mashyur pada kurun ke-5.[1]  Kenaikan aras air Laut Adriatik ini seringkali menyebabkan kejadian banjir berlaku akibat daripada kemasukan air laut ke dalam kelong-kelong ini.[2] Kajian menyatakan sekiranya fenomena ini terus berlaku, Venice akan mengalami  banjir pada setiap hari.

            3.1.2 Perubahan iklim dan cuaca

                        Selain itu, peningkatan suhu dan kepekatan gas karbon dioksida di atmosfera akan mengubah iklim dan persekitaran. Hal ini demikian kerana gas yang terkandung di atmosfera tidak akan menjadi stabil seperti beribu-ribu tahun dahulu. Akibatnya, biodiversiti hidupan di muka bumi ini akan terjejas. Taman Negara Mulu dan Taman Kinabalu, yang kaya dengan spesies tumbuhan dan       haiwan pastinya akan berhadapan dengan perubahan iklim kesan daripada pemanasan global.

            3.1.3 Pengasidan air laut

                        Seterusnya, seperti yang kita ketahui, punca utama pemanasan global adalah disebabkan oleh kandungan gas karbon dioksida yang terlalu banyak hingga boleh memerangkap haba. Gas karbon dioksida ini turut mengancan hidupan marin apabila gas karbon dioksida  yang berlebihan ini terlarut di dalam air laut. Gas karbon dioksida pada dasarnya bertindak mengawal kandungan asid didalam laut pada keadaan yang normal namun, apabila kandungan gas ini     meningkat, proses asidifikasi air laut turut akan meningkat dan pada satu tahap akan menyebabkan air laut menjadi terlalu berasid. Kandungan asid yang terlalu tinggi dalam lautan akan membahayakan organisma yang berlindung di dalam  cengkerang kalsium karbonat seperti terumbu karang, pelbagai jenis siput dan kerang serta beberapa spesies plankton.[3] Menurut seorang saintis dari             Universiti Miami, Christoper Langdon, pH purata lautan sudahpun mengalami penurunan sebanyak 0.1 unit pH sejak bermulanya Revolusi Industri.[4] Para saintis berpendapat bahawa jika tiada tindakan yang diambil, pH air laut akan mengalami penurunan secara purata sebanyak 0.3 pada tahun 2100. Keadaan     ini akan menyebabkan kerosakan yang teruk ke atas hidupan yang memerlukan    kalsium karbonat sebagai cengkerangnya. Molekul karbon dioksida yang terlarut  akan bertindak balas dengan kalsium karbonat yang terdapat pada cengkerang hidupan marin. Tindak balas ini akan menghasilkan asid karbonik yang menjadi punca utama kepada penurunan pH air laut.

             3.1.4 Penyakit

                        Selain itu, terdapat juga beberapa kesan negatif lain akibat pemanasan global. Contohnya, peningkatan suhu dunia yang semakin bertambah akan mengundang kepada peningkatan risiko penyakit berjangkit terutamanya di kawasan Afrika.[5] Hal ini disebabkan oleh pemanasan global yang menyebabkan kemarau sering berlaku dan akan memudahkan penyakit merebak. Selain itu,      ketiadaan air yang cukup akan menyebabkan tanaman tidak subur dan akibatnya mereka akan tiada sumber makanan untuk dimakan sekali gus menyebabkan kebuluran berlaku.
           
           
3.2 Kesimpulan

            Natijahnya, seluruh lapisan masyarakat harus sedar akan bahayanya atau kesan buruk yang akan menimpa sekiranya isu pamanasan global masih terus dipandang ringan sahaja. Hal ini demikian kerana tidak seorang pun di dunia ini yang tahu dan dapat meramal dengan tepat apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Sekiranya isu ini terus dipandang ringan, kesan buruk yang lebih serius daripada apa yang telah sedia terjadi pada hari ini berkemungkinan besar akan menjadi bertambah parah lagi.



[1] www.flickr.com
[2] Era Hijau, keluaran no.2, 2007. hlm 13
[3] http://www.reeffutures.org/topics/bleach.cfm
[4] http://www.reeffutures.org/topics/bleach.cfm
[5] http://en.wikipedia.org/wiki/Effects_of_global_warming.html



5 comments:

Anonymous said...

power2.

Anonymous said...

Baik bro

Unknown said...

really helpful!! pls read my blog

Unknown said...

sangat membantu saya.. masehh yee..

uhuyjhu said...

very nice

Post a Comment

 

Text